Angkara kerbau, ambulans bawa pesakit terbabas

0
336

SEBUAH ambulans yang sedang dalam perjalanan membawa pesakit ke Kota Kinabalu terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan lain selepas seekor kerbau melintas jalan dalam kejadian di Jalan Kesapang, Kota Belud, Sabah, pada awal pagi Khamis.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pemandu ambulans lelaki berusia 40 tahun bersama penumpang iaitu seorang doktor dan jururawat wanita masing-masing berusia 30 dan 41 tahun serta seorang pesakit wanita berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan itu melibatkan dua kenderaan iaitu ambulans dan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.

“Hasil siasatan awal mendapati ambulans milik Hospital Kota Marudu dalam perjalanan membawa pesakit ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi, ambulans berkenaan terlanggar seekor kerbau yang tiba-tiba melintas di hadapan dan menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan terlanggar sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

Katanya lagi, akibat kejadian itu haiwan yang menjadi punca kemalangan terbabit mati di lokasi kejadian.

“Kedua-dua pemandu bersama tiga penumpang termasuk doktor, jururawat dan pesakit tidak mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, kes masih disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai kemalangan itu dipercayai salah seorang mangsa yang terlibat memaklumkan kejadian berpunca daripada kerbau berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here