Abdul Hadi teruskan tradisi kekal bertanding di Parlimen Marang?

0
242

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka akan meneruskan tradisi bertanding di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Walaupun terdapat pelbagai andaian dan persepsi mengenai keterlibatan Ahli Parlimen Marang tersebut pada PRU kali ini, namun banyak pihak percaya Abdul Hadi, 75, akan tetap mewakili Pas sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.

Ini kerana, selain pengundi dan kepimpinan parti itu di Marang, pucuk pimpinan Pas masih mengharapkan tokoh politik veteran tersebut terus menjadi ‘nahkoda perang’ bagi memastikan kemenangan besar PN dalam PRU-15 kali ini.

Perkara ini diperkuatkan pula dengan kenyataan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin baru-baru ini yang mengatakan bahawa parti itu sedia memegang jawatan Perdana Menteri bagi mentadbir negara jika Pas diberi mandat pada PRU-15.

Ada pihak mengatakan Abdul Hadi dijangka tidak akan bertanding di Perlimen Marang kerana faktor kesihatan.

Malah, Hashim turut membayangkan bahawa Abdul Hadi merupakan calon paling sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

Beliau yang menyuarakan perkara itu berdasarkan peribadinya berkata, cadangan berkenaan dibuat bagi memastikan negara dapat ditadbir mengikut pemerintahan Islam.

Kenyataan Hashim seakan memberi jawapan sebenar berhubung teka teki kedudukan Abdul Hadi pada PRU-15 nanti.

Sebelum ini tanda tanya mengenai pencalonan Abdul Hadi di Marang banyak diperbualkan termasuk daripada para pengundi di kawasan berkenaan sendiri.

Ia berlaku kerana ada pihak mengatakan Abdul Hadi dijangka tidak akan bertanding kerana faktor kesihatan.

Malah, beliau juga dikatakan bakal memberi laluan kepada calon baharu pada PRU-15 nanti, menyebabkan ada yang cuba mengaitkan nama-nama antaranya seperti Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Abdul Hadi, 75, dikatakan akan tetap mewakili Pas sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan Marang

Pada PRU-14, 9 Mei 2018 lalu, Abdul Hadi berjaya mengekalkan Parlimen Marang setelah menewaskan dua pencabarnya Mohamad Nor Endut daripada Barisan Nasional (BN) dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.

Dalam pertandingan tjga penjuru itu Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi, Mohamad Nor (31,795) dan Zarawi (5,138).

Dalam PRU14 juga, Abdul Hadi buat pertama kalinya mengambil keputusan tidak bertanding di DUN Rhu Rendang selepas 36 tahun atau lapan penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, tradisi beliau adalah kekal bertanding di kedua-dua kawasan iaitu Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here