Najib ke penjara tak bersihkan UMNO dari rasuah – Tun M

0
209

PEMENJARAAN bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak tidak cukup untuk membersihkan UMNO daripada budaya rasuah, kata Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas presiden UMNO selama 22 tahun itu berkata, rasuah dalam parti itu telah melata hingga ke peringkat akar umbi.

Oleh itu katanya, UMNO perlu ditolak secara keseluruhan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO. Budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti UMNO lagi.

“Sebab itu UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

“Saya, bekas presiden UMNO dan ahli UMNO di waktu ia ditubuh pada 1946, menyeru supaya parti yang bernama Umno sekarang ini ditolak sepenuhnya.

“Saya sedih, tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘cash is king‘,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, pada Selasa memetik laporan MalaysiaKini.

Pada 23 Ogos lalu, Najib telah diperintah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam pada itu, Mahathir mengkritik pemimpin dan ahli UMNO yang menuduh Najib dianiayai dan mahkamah telah bertindak tidak adil terhadapnya.

Katanya, tidak ada kes seperti itu dalam sejarah negara apabila semua hakim bersetuju bekas Perdana Menteri itu bersalah.

“Yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba tutup bangkai gajah dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB.

“Peguam Negara Abdul Gani Patail, disingkir dan diganti dengan pilihannya Apandi Ali yang kemudian membersihkan Najib dari semua siasatan dan pertuduhan. Begitu juga pegawai polis dan SPRM yang ditukar dan ‘dibeku’,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here