MUDA sasar bertanding 15 kerusi Parlimen pada PRU15

0
316

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk di Muar, yang kini diwakili Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata objektif utama parti itu ialah untuk memberi nilai tambah kepada pembangkang pada PRU15 dan bukan hanya untuk memenangi kerusi semata-mata. 

“Kita (MUDA) bukan melihat kerusi Parlimen satu kawasan sahaja, malah kita juga melihat semua kerusi Parlimen di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak. Kita juga ada pasukan yang kuat di Borne, jadi kita akan letak calon di sana,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Pilihan Raya MUDA di sini hari ini. 

Ahli Parlimen Muar itu berkata tawaran MUDA untuk PRU15 adalah menampilkan calon-calon yang berwibawa, mengangkat kepimpinan wanita dan orang muda serta membawa idea yang progresif untuk rakyat Malaysia. 

Pada majlis yang sama, Syed Saddiq turut mengumumkan Timbalan Presiden MUDA Amira Aisya Abd Aziz sebagai Pengarah Pilihan Raya MUDA bersama sembilan anggota Jawatankuasa Pilihan Raya parti itu.

Ditanya mengenai kedudukan MUDA dalam Pakatan Harapan (PH), beliau berkata perbincangan tidak rasmi antara MUDA dan pimpinan PH telah bermula selepas Pilihan Raya Negeri Johor yang berlangsung pada Mac lepas.

Menurut beliau, MUDA pada masa ini sedang menunggu untuk mengadakan rundingan rasmi bersama Majlis Presiden PH mengenai penyertaan parti itu ke dalam PH. 

“Keputusan MUDA untuk berkolaborasi bersama PH adalah berdasarkan nilai dan prinsip yang sama,” katanya. 

Beliau berkata MUDA bersedia untuk bekerjasama bersama rakan berkongsi prinsip yang sama, mengangkat kepimpinan berbilang bangsa dan agama serta politik dasar dan berkhidmat untuk rakyat.  – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here