PRU-15: Pas tambah calon anak muda, wanita di kerusi boleh menang

0
218

PERSEDIAAN Pas untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan sahaja untuk menang tetapi lebih penting menampilkan calon yang berintegriti beriman, berilmu dan berakhlak mulia.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, usaha dan perjuangan tersebut penting bagi mengisi kemenangan parti tersebut kelak.

“Peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat ‘boleh menang’, ‘boleh diterima’, dan ‘boleh mentadbir’ bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

Katanya, Pas juga akan meningkatkan jumlah calon anak muda dan wanita untuk bertanding bagi menarik sokongan dua golongan berkenaan sebagai undi penentu pada PRU-15.

Namun paling penting ujarnya, persediaan jentera pilihan raya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu kuat dan mantap termasuk
petugas unit daerah mengundi (UDM) serta pasukan kempen yang cekap dan berkesan.

Pas juga katanya, perlu menguasai pengundi tidak berparti dengan melaksanakan pendekatan berilmu, menyalur maklumat benar selain menawarkan kepimpinan yang berkebajikan, mesra dan cakna rakyat.

Sehubungan itu katanya, pusat khidmat masyarakat parti tersebut perlu bergerak aktif dan berkhidmat secara efektif kepada semua rakyat.

Pada masa sama ujar beliau, Pas perlu mesra dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan boleh bekerjasama bagi mendekati kelompok pengundi tidak berparti itu menerusi aktiviti yang tidak berbau kepartian.

Pas juga mengambil kira bilangan pengundi warga emas yang semakin meningkat di setiap Parlimen dan DUN, katanya.

“Maka jentera pilihan raya perlu menyantuni pengundi warga emas dengan memperkasa Pasukan Kempen Assabiqun bagi mencapai sasaran strategik kemenangan Pas di Parlimen dan DUN yang ditandingi,” ujarnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, bagi menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam, Pas akan terus membuktikan kemampuan menjuarai isu-isu rakyat serta urus tadbir yang baik.

Ini termasuk katanya, memberikan khidmat kebajikan, melaksanakan konsep adil untuk semua dan membuktikan jaminan hak beragama kepada bukan Islam tidak akan tergugat di bawah kepimpinan parti.

“Kepada rakan-rakan bukan Islam, berilah peluang kepada Pas untuk melaksanakan pendekatan Islam yang lebih baik dan adil dan lihatlah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang tidak ada kaitan dengan agama dan bangsa sendiri.

“Dalam hal ini, Islam mengajar kita bahawa manusia terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk walaupun berbagai kaum, agama dan bangsa.
Pas mesti memulakan langkah dalam usaha untuk memenangi hati rakyat secara seluruhnya, ujarnya.

Antara perkara yang perlu fokuskan kata Abdul Hadi, adalah memberikan khidmat kepada masyarakat secara lebih dekat untuk menarik seramai mungkin masyarakat supaya bersama.

“Kita juga mesti menguasai dan memanfaatkan teknologi maklumat terutamanya melalui media sosial supaya mesej sampai kepada masyarakat,” katanya sebagaimana dilaporkan Harakah Daily.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here