‘Dulu pembangkang, bila jadi kerajaan nak tendang Bersatu…itu tak boleh’

0
206

KEDUDUKAN Bersatu kepada UMNO tidak boleh dilihat sama seperti PAN terhadap Pas kerana satu parti telah menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi satu lagi masih setia bersama.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Bersatu telah berjasa besar di mana bersama kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR menyebabkan Kerajaan PH tumbang.

Tegas beliau, tanpa tindakan demikian maka hari ini UMNO dan Pas masih menjadi pembangkang, tetapi langkah Bersatu itu membolehkan kedua-dua parti turut berada dalam kerajaan sekarang.

“Bila Kerajaan PH tumbang, kita tak ada satu parti (boleh) nak memerintah sebab tak tahu siapa nak jadi kerajaan. Pada waktu itu kita cadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. UMNO sokong, Pas sokong, Bersatu confirmed sokong. Jadi sekarang Pas, UMNO duduk dalam kerajaan atas jasa Bersatu. 

“Kalau Bersatu tak keluar daripada PH, UMNO, Pas tetap sebagai pembangkang sekarang. Jadi bagi Pas, jasa Bersatu  ini besar, jasa Bersatu menyebabkan UMNO pun jadi kerajaan, Pas jadi kerajaan. Sebab itu bagi Pas kita nak satu penyatuan tiga-tiga parti ini. UMNO memang dia tak nak Bersatu. Tapi bagi kita kata, you fikirlah sendiri, kalau Bersatu tak keluar, awak tetap pembangkang sekarang. Sekarang dah kita jadi kerajaan, kita nak tendang Bersatu, (itu) tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara rancangan Feng Ren Guan yang dikendalikan oleh pemerhati isu semasa dan sosial, Lum Chih Feng di Youtube, kelmarin, lapor HarakahDaily.

Tuan Ibrahim menegaskan, UMNO melihat Bersatu sebagai pengkhianat dan serpihan kepada parti itu sebagaimana tanggapan terhadap PAN yang muncul wujud daripada asal Pas sebelum daripada ini.

‘’Bersatu wujud daripada mereka yang keluar dan dipecat daripada UMNO, tetapi kerana memperjuangkan isu besar berkaitan integriti antaranya seperti kes 1MDB,’’ katanya.

Begitu juga tegas beliau daripada kalangan yang melompat parti ke Bersatu dengan dianggap sebagai pengkhianat telah berbuat demikian kerana lari daripada kes-kes besar dalam UMNO pada waktu itu.

“Bagi dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin), dia tak boleh kompromi dengan kes macam ni. Maka dia keluar. Jadi serpihan ni bukan suka-suka. Tapi kerana dasar (prinsip) dia, dia tak setuju dengan apa yang dibuat oleh pimpinan UMNO, maka dia keluar. Tetapi walaupun dia keluar, dia masih terima UMNO.

“Tapi sekarang satu kita ada Akta Antilompat Parti. Yang kedua kerajaan sekarang ni kerajaan bersama, tak ada kepentingan dah untuk lompat-lompat ni,” ujar beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA),’’ katanya.

Dalam wawancara itu Tuan Ibrahim turut mengimbas bagaimana

Pas  dan UMNO yang memeterai Muafakat Nasional (MN) bersedia menerima parti-parti lain dan telah menulis surat menjemput Bersatu untuk menyertai dan dipersetujui parti itu.

Bagaimanapun, kata beliau, selepas itu UMNO tidak terima disebabkan kes lompat parti tersebut yang dianggapnya sebagai musuh dan beliau selaku Pengerusi Bersama MN telah menasihati rakan-rakan dalam UMNO.

“Saya kata mereka dah korban ya, Bersatu dah korban keluar daripada PH. Jadi kita tak boleh samakan dia dalam PH. Macam Pas, kita, kenapa kita tak boleh terima PAN? Sebab PAN still bersama PH. Kalau PAN keluar daripada PH tak ada isu. Jadi sekarang ini Bersatu keluar daripada PH. Jadi kita kena terimalah hakikat bahawa mereka ini perlu duduk bersama dalam gabungan kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan, PAN tidak menjadi ancaman kepada Pas selepas segelintir yang keluar parti pada tahun 2015 menubuhkan wadah itu sebagaimana keputusan PRU-14 lalu.

Katanya, walaupun gelombang PRU-14 adalah besar, tetapi hanya berlaku di Pantai Barat, tidak di sebelah Pantai Timur, Pas mendapat lonjakan politik menang dua pertiga di Kelantan dan Terengganu, selain menambah kerusi di Pahang, Perak dan Kedah.

Keputusan PRN Melaka dan Johor, kata beliau menyaksikan sokongan kepada PH merosot dan undi kepada DAP, PKR dan PAN jatuh dengan teruk yang memperlihatkan pilihan rakyat.

“Jadi oleh kerana itu saya tengok sekarang ni rakyat mula tengok parti mana mereka nak pilih sebagai mengetuai kerajaan. Dan kita harapkan Perikatan Nasional jadi pilihan sebab rakyat perlu rasa kepimpinan baru yang kita kemukakan pada rakyat, yang itu harapan kitalah,” ujarnya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here