211 majikan ditahan Imigresen lindungi PATI

0
349

JABATAN Imigresen menahan 211 majikan kerana melindungi dan manggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui 5,416 siri operasi di seluruh negara dalam tempoh Januari sehingga 29 Ogos lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, majoriti majikan terbabit adalah warga tempatan dengan 203 orang, diikuti tiga warga Pakistan, masing-masing seorang warga Filipina, Vietnam dan Korea Selatan, manakala selebihnya warga lain-lain negara.

“Pada 2020, sejumlah 389 majikan ditahan, manakala tahun lalu membabitkan 206 majikan. Mereka yang melindungi atau menggajikan warga asing boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama.

“Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara atau enam kali sebatan jika terlibat dengan kegiatan terbabit,” katanya hari ini

Mengenai operasi tahun ini, beliau berkata, jabatan berkenaan menahan 13,524 warga asing, tertinggi adalah warga Indonesia dengan 6,048 orang, diikuti warga Myanmar seramai aitu 2,093 orang.

Seterusnya, Bangladesh (1,732), Thailand (969), Filipina (718), India (555), Pakistan (366), Kemboja (253), Nepal (246), Vietnam (235) dan selebihnya warga dari lain-lain negara.

“Mana-mana pihak yang bersubahat melindungi warga asing akan dikenakan tindakan tegas. Hukuman berat menanti individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi golongan itu dan mengambil mereka bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah.

“Tangkapan dan pendakwaan terhadap majikan ini membuktikan bahawa kita (imigresen) tidak berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka yang menyalahi akta dan peraturan Imigresen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here