Geng pecah rumah mewah tumpas

0
245

POLIS menumpaskan kumpulan pecah rumah yang menyasarkan rumah-rumah mewah di sekitar Lembah Klang apabila menahan lima orang termasuk dalang utama.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata kumpulan yang bergerak aktif sejak dua bulan lepas itu berjaya ditumpaskan susulan kejadian pecah rumah pada 22 Ogos lepas di Bandar Puchong Jaya di sini melibatkan kerugian RM100,000.

“Berikutan itu polis menjalankan operasi dan berjaya menahan lima rakyat tempatan berumur antara 27 hingga 46 tahun termasuk seorang wanita pada 25 Ogos hingga semalam di sekitar Lembah Klang.

“Semua yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan dadah, ketua kumpulan ini, lelaki berusia 36 tahun mempunyai 46 rekod jenayah lampau, tujuh rekod membabitkan dadah serta baru selesai menjalani hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Baling, Kedah dua bulan lepas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anbalagan berkata modus operandi kumpulan terbabit adalah menyasarkan rumah mewah yang tidak mempunyai sistem penggera dan kamera litar tertutup.

“Mereka akan memecah masuk rumah yang telah dikenal pasti pada waktu siang, kumpulan ini juga akan menyewa kereta mewah dan menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelakkan daripada ditangkap,” katanya.

Anbalagan berkata pihaknya turut merampas barang-barang disyaki hasil rompakan berjumlah RM300,000 termasuk empat kereta mewah serta pelbagai alatan yang digunakan untuk memecah masuk rumah.

“Dengan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

“Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda dan sebatan,” katanya.

Beliau berkata polis sedang mengesan saki baki barangan curi yang dijual oleh kumpulan terbabit melalui media sosial dan orang ketiga.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here