Esok penentu keputusan rayuan ketepi 13 pertuduhan Abdul Azeez

0
419

ISTANA Kehakiman, Putrajaya menjadi penentu esok bagi bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, sama ada berjaya atau tidak mengenepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dirinya.

Ahli Parlimen Baling itu didakwa atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Sinar Harian melaporkan, projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jaan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, di Putrajaya pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 12 Mac 2021, menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sehingga tamat rayuan bagi keputusan mahkamah terdahulu.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Pada 1 Julai lalu panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan membenarkan permohonan pihak perayu dan responden agar keputusan kes itu ditangguhkan

Hakim Kamaludin berkata, mahkamah menangguhkan keputusan rayuan itu buat kali terakhir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here