Najib dipenjara: ‘Ini bukan sesuatu yang menggembirakan, saya naikkan dia jadi PM’ – Tun M

0
283

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui hukuman yang dihadapi anak didiknya, Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menggembirakan.

Ini kerana menurut ahli Parlimen Langkawi itu, beliau bertanggungjawab menaikkan ahli Parlimen Pekan itu sehingga beliau bergelar Perdana Menteri.

Dalam wawancara bersama kepada Kyodo News, Dr Mahathir menjelaskan kemungkinan untuk Najib membuat kemunculan semula politik akan bergantung kepada potensi pengampunan diraja dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, beliau gembira dengan kerajaan sekarang, yang diketuai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO, tidak mengganggu prosiding kehakiman.

“Dengan berada di dalam penjara sekarang, karier politik Najib kelihatan malap, tetapi Dr Mahathir percaya beliau akan cuba membuat kemunculan semula.

“Beliau akan cuba sekali lagi menjadi perdana menteri walaupun peluangnya tipis.

“Jika UMNO menang dalam pilihan raya akan datang yang akan diadakan menjelang 2023, parti dan kerajaan akan merayu untuk pengampunan. Itu sudah pasti,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Najib bersalah dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan perlu membayar denda RM210 juta bermula Selasa setelah dihantar ke Penjara Kajang.

Dr Mahathir mendakwa beliau mahu Najib, 69, anak kepada Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein, menggantikannya.

Tun Abdul Razak dianggap individu yang memainkan peranan penting dalam memajukan kerjaya politik Mahathir sehingga menjadi perdana menteri keempat pada 1981.

Najib menjadi perdana menteri pada 2009, disokong sepenuhnya oleh Mahathir sehingga dia terlibat dalam skandal 1MDB pada 2015.

Mahathir berganding bahu dengan pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, sekali lagi berkhidmat sebagai Perdana Menteri hingga Februari 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here