Dua faktor boleh bantu PN kekalkan, tambah kerusi di Pahang – Saifuddin

0
231

PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan keyakinan berpeluang cerah menambah jumlah wakil rakyatnya di negeri ini.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata PN yakin boleh menang kerusi yang akan ditandingi, malah memiliki kekuatan tersendiri dan berpeluang cerah untuk menambah kerusi Parlimen atau DUN di negeri ini.

PN dianggotai BERSATU, PAS, GERAKAN bersama dua parti berpangkalan di Sabah, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP). Gabungan itu mempunyai satu kerusi Parlimen di Pahang melalui BERSATU dan lapan kerusi DUN milik PAS.

Saifuddin yang menyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota dan satu-satunya Ahli Parlimen PN di Pahang, berkata dua faktor dilihat dapat membantu gabungan berkenaan memenangi kerusi yang bakal ditandingi nanti.

“Dua faktor itu adalah hasil gabungan tiga parti (komponen PN di Semenanjung, BERSATU, PAS dan GERAKAN) serta sokongan baik yang diterima di peringkat akar umbi.

“Pada PRU lalu, BERSATU dan PAS tidak bertanding sebagai satu gabungan, malah berlawan antara satu sama lain. Apabila bergabung, kemungkinan besar kita akan menambah jumlah kerusi.

“Oleh itu, PN Pahang berhasrat bertanding semua 14 kerusi Parlimen dan 42 DUN di Pahang,” katanya pada sidang media selepas Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): Peluang Kedua Kehidupan Baharu, di Kuantan, Pahang, lapor BH Online.

Saifuddin yang pada PRU-14 menang kerusi Parlimen Indera Mahkota atas tiket PKR sebelum keluar parti itu dan menyertai BERSATU, berkata PN Pahang akan melantik pengerusi dan ahli jawatankuasa peringkat Parlimen bagi menyelaras dan melicinkan pergerakan pada PRU-15.

Katanya, pelantikan itu akan dimuktamadkan selepas mesyuarat PN Pahang yang dijangka September depan.

“Rundingan awal sudah dilakukan dan pada mesyuarat bulan depan kita akan muktamad dan umum jawatankuasa itu. Setakat ini, sudah ada persefahaman di peringkat akar umbi bagi melantik individu yang akan mengetuai jawatan peringkat Parlimen.

“Tiga parti dalam PN ini sudah faham sesiapa sahaja yang dilantik, bukan bermakna parti diwakilinya akan bertanding di kawasan itu, sebaliknya ini lebih kepada melicinkan pengurusan sahaja,” katanya.

Mengenai program dirasmikannya hari ini, Saifuddin berkata, ia diadakan di sebuah premis cuci kenderaan yang pemiliknya mengambil bekas penagih dadah dan bekas banduan sebagai pekerja.

“Ini usaha murni yang seharusnya menjadi contoh kepada majikan lain. 

Mengambil bekas penagih dadah dan bekas banduan bekerja dapat membantu mereka mengelak daripada mengulangi kesalahan sama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here