TUN Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’ membabitkan bekas perdana menteri itu.
Dr Mahathir, 97, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu menerusi Tetuan Haidir & Co pada 20 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Ahmad Zahid, 69, sebagai defendan tunggal.
Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 yang kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dan memberi tanggapan bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan amanah, mementingkan diri sendiri, licik dan penuh tipu helah demi mencapai kepentingan peribadi.
Dr Mahathir menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu selain memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara lisan dan bertulis terhadap plaintif, kos dan relif lain yang sesuai.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lepas menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.
Dakwa Presiden UMNO itu, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini memaklumkan, pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris secara e-Review, mahkamah menetapkan 13 Sept ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
“Plaintif juga perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan defendan sebelum atau pada 8 Sept ini,” kata peguam itu.–Bernama