Pemandu lori ditahan, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

0
224

SEORANG lelaki ditahan bersama sebuah lori yang ditutup dengan kanvas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh, pada petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemandu lori berusia 24 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut pada 2.30 petang.

Menurutnya, operasi itu adalah hasil pemantauan harian yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa di stesen minyak sekitar Ipoh.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut, terdapat empat tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori itu telah diubah suai dan disambungkan dengan empat buah tangki fiber berkenaan.

“Semakan juga mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat, lapor Astro AWANI.

Oleh itu, pasukan pegawai KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 1,000 liter minyak diesel dari lori berkenaan di lokasi tersebut.

Saifullizan berkata kesemua barang rampasan ini dianggarkan bernilai RM45,850 manakala pemandu lori itu telah ditahan untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut.

“Pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Dianggarkan hampir 1,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan.

“Selain itu lori berkenaan dipercayai mengumpul minyak diesel dengan mengisi di beberapa stesen sebelum dijual kepada pihak industri,” katanya lagi.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Beliau turut menegaskan Kementerian melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas melebihi 20 liter tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here