Jelajah Kedah, Pulau Pinang untuk ‘kaut’ diesel subsidi

0
297

Oleh BADLISHAH MAT

PERBUATAN seorang pemandu lori yang sering membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sehingga ke Seberang Perai Utara di Pulau Pinang akhirnya terbongkar apabila dia dicekup di Padang Serai, Kulim di Kedah, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu juga memandu kenderaan seberat 16 tan itu yang turut memuatkan tangki tambahan berkapasiti sehingga 4,000 liter untuk sekali isian.

Ketika diperiksa di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri, Padang Serai, pemandu terbabit sudah berjaya mengepam sebanyak 2,719 liter diesel dengan nilai RM5,573.

Pengarah Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Affendi Rajini Kanth memaklumkan, minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan itu akan disedut naik menggunakan pam ke tangki tambahan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan KPDNHEP.

Minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan itu akan disedut naik menggunakan pam ke tangki tambahan tersebut

“Siasatan lanjut mendapati minyak tersebut dibeli daripada stesen-stesen minyak sekitar Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan Padang Serai di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Affendi, minyak diesel tersebut dipercayai akan dijual semula dengan harga industri kepada pembeli daripada sektor industri atau diseludup ke negara jiran untuk mendapatkan hasil yang lebih lumayan.

Katanya, kesemua minyak tersebut dirampas termasuk lori terbabit yang membabitkan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM30,573.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

“Kes turut dibaca bersama di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah satu lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here