Pendirian DAP atas isu integriti jadi persoalan

0
283

BERSATU menyifatkan sikap pimpinan DAP dan Pakatan Harapan (PH) terhadap integriti masih boleh dipersoalkan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Yazid Yunus berkata parti itu digambarkan seolah-olah sanggup bersekongkol dengan UMNO bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) sekiranya mengambil kira kenyataan daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke baru-baru ini.

“Adakah Anthony (Loke) sedang bermimpi sedangkan sebelum ini, mereka sering melaungkan perkataan integriti, ketelusan dan menolak rasuah serta kleptokrasi?

“Saya nak tanya pengundi PH dan penyokong DAP, adakah mereka setuju untuk bekerjasama dengan Umno?

“Kalau jawapan mereka ya (setuju) amat malang sekali kerana ia membawa maksud DAP dan PH menyokong dan menghalalkan apa saja dilakukan Umno dahulu dan sekarang,” katanya sepertimana dilaporkan Malaysiakini pada Selasa.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang itu menambah, perkara itu lebih menjadi persoalan apabila pimpinan DAP dan PH sering menuduh Bersatu sebagai pengkhianat.

Hakikatnya, Mohd Yazid berkata Bersatu merupakan parti yang konsisten menolak kluster mahkamah dan mengutamakan integriti.

Malah beliau menyifatkan sikap DAP dan PH itu menunjukkan mereka sedia ‘berjalan berpimpin tangan’ bersama-sama penjenayah bagi memperoleh kuasa.

“Rakyat sudah muak dengan bahasa ‘silang kata’ digunakan pemimpin pembangkang kerana rakyat mahu melihat satu mesej dan pendirian yang jelas hala tujunya.

“Kita (PN) lebih memikirkan hal (kebajikan) rakyat, mencari jalan memajukan negara dan keluar dari tekanan ekonomi yang sedang dihadapi ketika ini.

“Jika Anthony Loke dan PH ingin mencari rakan sekutu atau electoral pact yang mengutamakan rakyat, Umno bukanlah pilihan yang tepat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yazid menyifatkan DAP dan PH yang merupakan pengkhianat sebenar kepada rakyat dengan memilih UMNO.

Pada 8 Ogos lalu, Loke dilaporkan berkata DAP tidak akan menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO dengan menyifatkan apa sahaja boleh berlaku dalam politik, namun menegaskan sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas PRU-15.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu menjelaskan tidak timbul soal PH akan bekerjasama dengan UMNO selepas PRU-15.

Katanya, jika dilihat konteks kenyataan daripada Loke itu, ia tidak sampai ke tahap kerjasama seperti yang difahami sesetengah orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here