Polis tahan enam individu, rampas 38 kg dadah bernilai lebih 1.3 juta

0
85

POLIS menahan empat lelaki dan dua wanita selepas menemukan 38.161 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta yang disorokkan di bahagian belakang kenderaan jenis Honda City di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata dadah itu ditemukan semasa sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah memeriksa sebuah kereta Toyota Vellfire dan sebuah Honda City yang dilihat mencurigakan sekitar tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati dadah methamphetamine disorokkan di bahagian belakang kereta Honda City, selain 1.7 gram dadah jenis methamphetamine turut dijumpai di dalam pemilikan salah seorang daripada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kereta Honda City itu dinaiki dua lelaki manakala Toyota Vellfire dinaiki seorang lelaki serta dua wanita, dan kedua-dua kenderaan itu dipercayai tiba dari Pantai Timur Semenanjung, dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah berkenaan.

“Susulan penahanan lima suspek itu, polis menahan seorang lagi lelaki kira-kira 6.15 petang hari yang sama di Jalan Chendana di sini, dipercayai ahli sindiket yang berperanan sebagai penerima dan ‘runner’ dadah,” katanya.

Noor Dellhan berkata hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek yang berumur 20 hingga 49 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, dan kesemua suspek kini direman sehingga 15 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here