Tubuh RCI siasat skandal LCS – Mahathir Rais

0
482

KERAJAAN digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang telah menyebabkan wang rakyat dibelanjakan sehingga RM6 bilion, namun tidak ada satu pun kapal diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais, berkata skandal LCS bukan isu kecil, namun isu negara dan rakyat malah lebih membimbangkan, ia berkaitan keselamatan negara.

“Siasat secara menyeluruh dan jika mampu, kita gunakan tiga hingga lima orang hakim untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.

Katanya, siasatan oleh badan bebas dapat membongkar permasalahan sebenar yang mengancam kedaulatan serta keamanan negara.

“Jika kita tengok persediaan perang yang berlaku antara China dan Taiwan, kita dilihat sangat hampir untuk berdepan Perang Dunia Ketiga pada bila-bila masa.

“Ini kita baharu sahaja mendapat tahu mengenai aset sebanyak RM6 bilion yang tidak ada, berapa banyak lagi ketirisan yang berlaku dalam kerajaan dan kita tidak tahu?” katanya.

Khamis lalu, Wong ketika mengumumkan dapatan siasatan projek LCS, berkata Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind, pada 11 Jul 2011, atas cadangan BNS, pada 8 Jul 2011.

Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus.

Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here