Polis tahan lelaki ragut gelang emas

0
279

POLIS menahan seorang lelaki selepas tidak sampai 24 jam meragut gelang emas seorang wanita di Lorong Pulau Pinang, Taman Melawati di Ampang Jaya, pukul 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai berhubung kejadian itu.

“Dalam kejadian, mangsa yang menunggang motosikal di lokasi kejadian dihampiri sebuah motosikal dipercayai ditunggang suspek berusia 30 tahun.

“Suspek kemudiannya bertindak meragut gelang emas dipakai mangsa pada tangan kiri sebelum melarikan diri menyebabkan wanita terbabit kerugian RM2,000.

“Namun, mangsa tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

Mohamad Farouk berkata, susulan laporan itu, pihaknya menahan suspek yang juga penganggur di Pandan Jaya pada 12.30 tengah malam tadi.

“Kami turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kejadian ragut berkenaan selain satu resit pajak gadai serta sejumlah wang tunai.

“Modus operandi suspek adalah mensasarkan mangsa yang memakai gelang emas dan menunggang motosikal bersendirian di jalan sunyi,” katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit mempunyai lima rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan lelaki itu juga positif dadah jenis methaphetamin.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun keseksaan kerana melakukan samun ragut.

“Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam apa apa perbuatan merompak harta milik orang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here