‘’Bersatu tak terkejut, sejak awal tahu Zafrul ahli UMNO’’ – Razali

0
760

PARTI Bersatu tidak terkejut dengan pelantikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, berkata walaupun Tengku Zafrul dikatakan mesra Bersatu selepas dilantik menteri semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau tidak pernah menghadiri program parti itu.

Beliau berkata, Bersatu sejak awal mengetahui Tengku Zafrul adalah ahli UMNO dan Muhyiddin tidak pernah mensyaratkan beliau perlu menyertai Bersatu untuk dilantik sebagai Menteri Kewangan.

“Saya tidak terkejut kerana Tengku Zafrul tidak mesra Bersatu sebagai contoh beliau tidak pernah hadir dalam aktiviti parti,” katanya kepada portal FMT.

Sehubungan itu Razali menolak dakwaan kononnya  Bersatu gagal menjadi tarikan selepas Tengku Zafrul memilih terlibat secara aktif dalam UMNO dan BN dengan memegang jawatan dalam parti, sambil menjelaskan Bersatu berjaya menarik ramai profesional baharu lain.

“Ramai ahli baru Bersatu daripada kalangan professional cuma kita tidak pernah memujuk Tengku Zafrul sertai Bersatu. Bersatu terbuka kepada sesiapa yang sehaluan dalam perjuangan tolak rasuah, salah guna kuasa dan prihatin rakyat.

“Tengku Zafrul boleh ke mana saja yang beliau suka, beliau tidak terikat dengan Bersatu. Beliau hanya dilantik menteri kewangan dan tidak diminta masuk Bersatu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here