Samsuri yakin PN akan kekal perintah Terengganu

0
409

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yakin dan percaya gabungan parti itu akan terus kekal memerintah negeri itu pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, keyakinan itu berdasarkan imej stabil dan keprihatinan terhadap rakyat serta kewibawaan PN ketika berhadapan dengan pelbagai krisis khususnya melibatkan politik dan kesihatan yang membelenggu negara sebelum ini.

“Perkara ini menjadi penanda aras yang amat baik, sekaligus membuktikan kemampuan PN katika memerintah negara dan negeri.

“Oleh itu, saya berasa amat yakin dan in shaa Allah, Terengganu akan terus kekal menjadi milik kita, apatah lagi sambutan rakyat juga semakin baik”, katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PN Negeri Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila Marang, malam Sabtu.

Majlis yang dilancarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dihadiri Presiden Gerakan, Senator Dominic Lou Hoe Chai; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dan Pengerusi Gerakan Terengganu, Wong Kim Su.

Menurut Ahmad Samsuri, dengan pelancaran PN Terengganu bermakna parti-parti dalam gabungan terbabit terus menggerakkan agenda perpaduan dan penyatuan ummah.

“Kewujudan PN pada asalnya diasaskan daripada penyatuan parti-parti Melayu Islam dan parti bukan Islam yang tidak terlalu ekstrem bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH),”ujarnya.

Beliau berkata, asas keberadaan PN yang menjadi galang ganti adalah ketika berhadapan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi pada tahun 2020 yang lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here