Pelancaran PN Terengganu lakar lembaran baharu politik

0
503

KEHADIRAN lebih daripada 10,000 rakyat Terengganu semasa Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Terengganu membuktikan penerimaan rakyat Terengganu terhadap parti tersebut.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kehadiran mereka menjadi titik permulaan dalam melakar sejarah politik baharu di negeri tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh anggota parti dan rakyat Terengganu yang hadir pada malam ini dari Besut hingga Kemaman dan (daripada) seluruh pelusuk tanah air.

“(Kehadiran anda adalah) untuk mengukir lembaran baharu dalam sejarah di negeri Terengganu dengan pelancaran secara rasmi PN Negeri Terengganu,” katanya dalam majlis tersebut.

Majlis yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila, Marang itu turut dihadiri beberapa pucuk pimpinan PN termasuk Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Pengerusi, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tambah Ahmad Samsuri yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan PN Negeri Terengganu, pelancaran tersebut juga menjadi titik permulaan terhadap kejayaan yang mampu dicapai gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Hari yang sangat bersejarah, menandakan satu titik permulaan kita PN di negeri Terengganu bagi menggerakkan kecemerlangan sebagai satu titik penting.

“Daripada titik inilah, kita akan sama menggerakkan seluruh negara sehingga kita mampu mencapai kemenangan di Putrajaya, in shaa Allah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga merupakan Presiden PAS turut menegaskan bahawa kejayaan kerajaan PN dalam mengawal isu kesihatan serta ekonomi menjadi bukti terhadap kemampuan gabungan tersebut dalam mengetuai sesebuah kerajaan.

“PN tiada manifesto, tetapi kami ada agenda. Menghadapi masalah wabak, menghadapi masalah ekonomi, semua kita dapat hadapi dengan sebaiknya.

“Rakyat kita tahu bahawa kerajaan PN telah menunjukkan bukti ketika pemerintahan berjaya memimpin negara dengan melaksanakan banyak perkara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here