Dua kumpulan lelaki merusuh di kedai makan diburu polis

0
246

POLIS memburu dua kumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata berbahaya di luar sebuah kedai makan di Kuala Ibai di Kuala Terenggau malam kelmarin.

Pergaduhan melibatkan 15 hingga 20 individu di luar premis milik seorang wanita itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham berhubung isu parkir kenderaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada pukul 9 malam kelmarin.

“Susulan itu, pihak polis ke lokasi kejadian dan mendapati kesemua suspek telah melarikan diri.

“Seramai lapan suspek telah ditahan dalam operasi yang dijalankan sehingga petang Jumaat dan usaha mengesan beberapa suspek lain sedang giat dijalankan.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku antara seorang lelaki yang merupakan seorang penyewa rumah dengan seorang pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu.

“Ia dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung isu parkir kenderaan yang berlaku pada pagi hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham, bukan berpunca daripada isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan orang awam.

“Situasi keselamatan di kawasan berkenaan adalah terkawal dan orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Rohaidy di talian 013-9324302 atau berhubung dengan bilik gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here