Lelaki ditahan ubah suai kenderaan sendiri seleweng minyak diesel

0
360

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis menahan seorang lelaki warga tempatan yang menggunakan  taktik licik mengubah suai sendiri kenderaan pacuan empat roda bagi aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis Muhamad Amir Abdullah berkata hasil pemeriksaan mendapati bahawa lelaki berusia 36 tahun itu menambah dua unit tangki pada tempat duduk belakang bagi mengisi minyak diesel yang ‘dikutip’ (dibeli) sekitar Kangar.

 “Ketika ditahan kira-kira 12.30 tengah hari semalam, lelaki tersebut baru selesai mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Kangar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata  pihak KPDNHEP Perlis mengambil tindakan menyita anggaran 500 liter minyak diesel bersubsidi (bernilai RM1,075), enam jerry can (tong plastik), resit pembelian minyak diesel dan sebuah kenderaan jenis Pajero Mitsubishi dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM22,135 untuk siasatan lanjut.

Katanya modus operandi yang diguna adalah membeli minyak diesel di beberapa stesen minyak dan kemudian dibawa ke premis penyimpanan sebelum dijual kepada pembeli yang terdiri daripada warga asing.

Beliau berkata hasil soal siasat terhadap suspek mendapati minyak diesel bersubsidi yang diseleweng dijual pada harga RM2.30 hingga RM2.35  berbanding RM2.15 seliter yang dijual di stesen minyak.

Muhamad Amir berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan bagi kes tersebut mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

“Kami masih membuat siasatan bagi mengesan lokasi premis penyimpanan minyak diesel dan dalang utama sindiket tersebut,” katanya.

Muhamad Amir berkata hasil risikan terkini KPDNHEP Perlis mendapati bahawa terdapat tonto yang memantau pergerakan kenderaan KPDNHEP dan agensi penguat kuasa  lain.

“Hasil risikan  awal yang kami peroleh mereka (tonto) bergerak mengunakan motosikal bagi mendapat maklumat,” katanya. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here