SPRM masih siasat kes bekas Ketua Pengarah MEIO

0
370

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan kes dakwaan pecah amanah melibatkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, siasatan lanjut terhadap Hasanah berterusan berikutan siasatan sedang dijalankan SPRM terhadap seorang pegawainya mengenai kehilangan barang berkaitan kes tersebut.

Jelas beliau, perkara itu telah menyebabkan kelewatan dalam siasatan lanjut terhadap kes Hasanah.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima kertas siasatan berhubung dengan kes Hasanah daripada SPRM pada 4 Oktober 2012.

“Namun, siasatan lanjut terhadap Hasanah masih berterusan berikutan dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM terhadap seorang pegawai serbuannya mengenai kehilangan barang berkaitan kes Hasanah.

“Setakat ini, tiada apa-apa syor dikemukakan SPRM berhubung kes ini,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, hari ini, lapor Utusan TV.

Beliau menjawab soalan R. Sivarasa yang bertanyakan mengapa siasatan kes bekas Ketua Pengarah MEIO itu mengambil masa lebih setahun sejak April tahun lalu, selepas beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 12 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk tidak meneruskan kes terhadap Hasanah.

Ketika itu, pihak pendakwaan memaklumkan Hasanah akan dihadapkan semula dengan pertuduhan baharu selepas mendapati ‘kewujudan penemuan-penemuan baharu’.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 65, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM), melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM di Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Bekas Ketua Pengarah MEIO itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here