PRU-15, pembahagian kerusi PN Pulau Pinang selesai

0
355

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang sudah menyelesaikan isu berkenaan pembahagian kerusi bagi 13 kawasan Parlimen di negeri itu melibatkan tiga komponen parti PN iaitu melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Pas dan Gerakan.

Pengerusi Badan Perhubungan PN Pulau Pinang, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kesemua parti komponen PN Pulau Pinang juga sudah menyerahkan senarai nama ketua badan perhubungan kawasan Parlimen masing-masing.

Katanya, langkah itu bagi memastikan gerak kerja di kawasan Parlimen berkenaan dapat dimulakan dalam masa segera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, ketua badan perhubungan kawasan Parlimen juga dinasihatkan turun padang dan memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan masing-masing secara proaktif sebaik sahaja kerja pelantikan dimuktamadkan.

”Ketua-ketua badan perhubungan kawasan harus memahami isu yang dihadapi rakyat setempat, memberi bantuan serta membela kepentingan rakyat tanpa mengambil kira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, ketua-ketua badan perhubungan kawasan Parlimen yang dilantik tidak semestinya dipilih sebagai calon PRU-15.

Namun jelasnya, semua pihak di dalam PN perlu bersatu padu dan berjuang secara berpasukan untuk bersiap sedia dalam gerak kerja pilihan raya supaya PN Pulau Pinang mendapat keputusan yang baik dalam PRU-15.

Tambahnya, PN Pulau Pinang akan mengadakan majlis pelancaran dalam masa terdekat dan satu ‘retreat’ juga akan diadakan selepas itu bagi merangka pelan tindakan untuk menghadapi PRU-15

”Tarikh 7 Ogos depan merupakan hari ulang tahun kedua PN, kami di Pulau Pinang akan mengadakan majlis sambutan ulang tahun pada hari itu.

”Beberapa acara akan diadakan pada hari itu termasuk penyerahan surat pelantikan ketua badan perhubungan kawasan Parlimen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here