Polis tahan lelaki rompak, bakar kedai

0
328

POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki merompak dan membakar kedai runcit di Felda Tersang 1, Raub Sabtu lalu di kawasan ladang kelapa sawit Felda Sungai Koyan, Lipis pada Ahad.

Hasil maklumat orang awam, suspek berusia 50 tahun dan tidak bekerja berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Cheroh dengan bantuan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada pukul 7.15 malam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, ketika tangkapan dibuat, suspek telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan di antara suspek dan pihak polis.

“Susulan daripada itu polis turut menemukan sebuah beg warna hitam tertulis waterproof, wang tunai RM1,420, seutas gelang tangan emas berloceng, dua utas gelang tangan emas, dua unit pemetik api jenama Aladdin dan satu pemetik api jenama Cricket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan dadah dan empat rekod kesalahan jenayah.

“Soal siasat awal ke atas suspek mendapati dia mengaku bertindak bersendirian melakukan rompakan hingga mendatangkan kecederaan serta khianat dengan api.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Raub untuk permohonan reman,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Dalam kejadian Sabtu lalu di Kedai Mara Felda Tersang 1, seorang pembantu kedai warga Indonesia dipukul, dirompak sebelum kedai di bakar.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu menyebabkan Nur Hasanah, 43, mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Mangsa mengatakan antara pukul 1 hingga 2 pagi, terdapat seorang lelaki bertopeng memanjat bumbung dan masuk ke dalam kedai sebelum bertindak menyerangnya dengan menggunakan sebatang besi hingga menyebabkan kecederaan.

Suspek kemudiannya melarikan wang tunai sebanyak RM1,700 yang berada di kaunter kedai dan dua utas gelang emas milik mangsa.

Mangsa diikat di tangan menggunakan pita pelekat dan melihat suspek bertindak membakar kedai. Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here