Polis tahan 25 lelaki, rampas barang seludup hampir RM2 juta

0
355

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS menahan 25 lelaki termasuk enam warga asing kerana terlibat kegiatan penyeludupan diesel, minyak masak bersubsidi, arak dan rokok ditahan menerusi 14 serbuan Op Kontraban, di seluruh Johor sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua mereka berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan pasukan khas yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap daerah.

“PDRM turut dibantu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Hasil operasi pihaknya merampas pelbagai barangan bernilai hampir RM2 juta.

“Sejak Rabu lalu hingga 2 pagi tadi, pasukan khas kontraban melakukan 14 serbuan di hampir semua daerah termasuk di Mersing, Johor Bahru, Muar, Kota Tinggi dan Segamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 4,012 paket minyak masak; 158,380 liter diesel; 215 karton dan 476 rokok pelbagai jenama, serta 216 karton dan 50 botol arak pelbagai jenama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah 16 lori termasuk sebuah lori tangki, sebuah kereta, dua van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta peralatan penyeludupan lain.

Katanya, semakan rekod ke atas semua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau bagi kegiatan jenayah atau dadah.

“Pemeriksaan ke atas suspek warga asing pula mendapati mereka menyalahgunakan dokumen perjalanan masing-masing.

“Suspek warga asing sudah diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959)63,” katanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, katanya.

“Polis akan terus memastikan kegiatan penyeludupan minyak diesel dan petrol, minyak masak bersubsidi, rokok dan arak terus dibanteras.

“Polis juga memberi amaran kepada mereka yang masih terbabit supaya menghentikan perbuatan itu, kerana kita tak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here