Pemimpin UMNO rakus kejar kedudukan, tamak kuasa

0
454

BERSATU Perak mendakwa sikap sebahagian besar pemimpin UMNO masih lagi tidak berubah apabila mereka rakus mengejar kedudukan dan tamak kuasa selepas diberi peluang membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) dahulu.

Setiausahanya, Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz berkata, mereka sepatutnya belajar dari kesilapan lalu.

Beliau juga membangkitkan tentang kementerian-kementerian yang diterajui pemimpin-pemimpin UMNO dilihat sedang rancak menamatkan perkhidmatan pengerusi agensi dan lembaga yang sebelum ini dipimpin wakil Bersatu, kini diganti dengan wakil dari parti itu.

“Saya secara peribadi terpanggil untuk menyentuh perkara ini apabila sering kali melihat apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaaan menjadi satu kebiasaan tanpa teguran.

“Empat hari lalu, wakil UMNO, Apli Yusoff telah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN), sebelum ini diketuai oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan, wakil dari Bersatu. Sepatutnya sebagai menghormati rakan bersama parti komponen dalam kerajaan, wakil yang dilantik sepatutnya di kalangan Bersatu juga, akan tetapi UMNO terus menunjukkan kerakusan kuasa apabila mereka memegang tompok kepimpinan negara.

“Ini bukan sekadar PTPTN sahaja, banyak lagi GLC dan lembaga pengarah mengalami nasib yang sama malah isu kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah keluar Bersatu pun masih senyap dan tiada tindakan daripada kepimpinan yang diterajui wakil UMNO juga, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), yang dahulunya diketuai wakil Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, kini diberi kepada bekas Menteri Besar Terengganu dari UMNO, Datuk Seri Ahmad Said. Jawatan Pengerusi FINAS yang dulunya diisi wakil Bersatu, kini diberi kepada Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Seri Zurainah Musa. Ada banyak lagi,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Bersatu.

Zulkifli mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO agar jangan terlupa erti setiakawan kerana sifat rakus dan tamak kuasa mereka hanya merugikan rakyat yang melihat semua tindak-tanduk mereka serta mengadili pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

“Sebelum ini, saya mempunyai pandangan segelintir pemimpin UMNO sahaja yang bermasalah dengan kerakusan dan ketamakkan kuasa, akan tetapi saya sangat berbeza pandangan sekarang apabila satu demi satu isu yang menunjuk hampir semua pemimpin mempunyai masalah yang sama.

“Nilai murni seperti menghormati satu sama lain terutamanya sebagai rakan komponen tidak diutamakan, malah budaya tikam menikam di belakang lagi hebat dari sebelumnya.

“Sekiranya inilah sistem yang mereka amalkan dari dulu masih diamalkan sehingga hari ini, saya merasakan UMNO wajib perlu kepimpinan baharu secara kesuluruhan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Zulkifli mencadangkan agar kementerian-kementerian yang diterajui menteri dari Bersatu segera menyemak semula kedudukan pengerusi agensi dan lembaga yang dipimpin wakil UMNO untuk diganti dengan wakil Bersatu.

Menurut beliau, tindakan itu bagi membolehkan maruah Bersatu tidak dipandang rendah oleh UMNO.

“Sekiranya tidak, masalah seperti ini terus akan berlaku dan perkara seperti ini akan merugikan rakyat, terutamanya pemimpin yang sangup melantik di kalangan mereka demi mengekalkan kuasa yang ada.

“Oleh itu, perkara-perkara seperti ini patut diatasi demi menghormati rakan kompenan dan setiakawan. Kesabaran dan kesetiaan yang ada jangan terus diuji, sekiranya ada tindakan susulan akan menyebabkan banyak pihak terkesan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli menggesa Ismail Sabri segera melihat semula tentang kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas keluar Bersatu dua bulan lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here