Pemandu Toyota Hilux tular memandu di lorong kecemasan disaman

0
234

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

PEMANDU kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang tular di media sosial kerana memandu di lorong kecemasan bermula dari Sungai Dua hingga ke Kepala Batas, Pulau Pinang semalam disaman atas kesalahan itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, lelaki berusia 47 tahun itu disaman selepas hadir ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU pukul 9 pagi tadi.

Katanya, lelaki itu tiba bersama kenderaannya untuk memberi keterangan lanjut selepas rakaman video mengenai insiden itu tular di Facebook sejak pagi semalam.

“Pemandu berkenaan dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 53(1) Kaedah–kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam rakaman video berdurasi hampir dua minit itu, suspek yang memandu Toyota Hilux berwarna putih dilihat memandu melulu dan video tular selepas dimuat naik ke laman Facebook DashCam Owners Malaysia.

Menurut Mohd. Radzi, siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku di Kilometer (KM) 129.0, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Sungai Dua.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas sedia ada bagi mengelakkan dikenakan tindakan demi menjaga kepentingan awam.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here