Taktik sorok rokok seludup lebih RM500,000 dalam van terbongkar

0
647

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai lebih RM500,000 termasuk cukai yang dipercayai disimpan oleh kumpulan penyeludup di dalam sebuah van yang diletakkan di sebuah lorong kampung, di Kota Bharu, empat hari lepas.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, pasukan operasi bahagian penguatkuasaan JKDM Kota Bharu menemukan 82 kotak yang mengandungi 671 batang rokok pelbagai jenama itu selepas memeriksa van berkenaan dalam serbuan Ops Benteng, pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

“Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM98,650 dengan nilai cukai sekitar RM452,725…kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Bongor, di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata, risikan pihaknya mendapati penyeludup sengaja menjadikan kenderaan yang ditinggalkan sebagai tempat simpanan rokok seludup untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sebelum diedar kepada pelanggan.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini 183 kes rokok seludup dikesan melibatkan rampasan 11 juta batang rokok bernilai kira-kira RM1.5 juta dengan nilai cukai dianggarkan RM7.4 juta.

Beliau berkata, 22 individu ditahan dan didakwa di mahkamah bersabit dengan kegiatan itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here