Lelaki tular hina Islam ditahan

SEROANG lelaki yang didakwa menghina agama Islam dengan melabelkan Nabi Muhammad, Allah dan Islam dengan perkataan kesat sudah ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Suspek ditangkap di sebuah rumah di Batu 8, Bukit Kuchai, Puchong oleh pasukan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman,” ujarnya seperti dilaporkan Kosmo!

Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Terdahulu, menerusi video tular berdurasi 36 saat, lelaki tersebut mencabar pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) agar terus membunuhnya atas kelantangannya bersuara.

Dia mencabar agar terus berjumpanya dan membunuhnya serta tidak perlu bercakap banyak.

Suspek turut menghina Nabi Muhammad, Allah dan agama Islam dengan perkataan kesat dan kurang ajar.