‘Terus sanggah Najib sehingga kita hantar dia ke penjara’-Rafizi

0
350

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli, menganggap kelincahan Najib Razak “meracun” rakyat perlu ditangani segera dan mengajar semua ahli parti itu bersama-sama menghentikannya.

Justeru antara arahan awal Rafizi selaku orang nombor dua parti ialah agar laporan polis besar-besaran di seluruh negara pada Selasa ini dalam isu perkauman.

Lebih daripada itu kata Rafizi semua ahli PKR mesti mula bertindak aktif menyanggah apa saja propaganda ditonjolkan bekas perdana menteri berkenaan.

“Kita kena sanggah Umno, tak boleh biarkan dia bermaharajalela, tak boleh biarkan Najib syok racun rakyat.

“Mulai hari ini semua kita bila balik, kita terus sanggah Najib sehingga kita hantar dia ke penjara.

“Hari Selasa nanti kita buat laporan polis secara besar-besaran, tak boleh biarkan dia main isu perkauman.

“Sepas ini kalau Najib berbohong kita buat laporan polis demi laporan polis… sebab saya tahu Najib ni penakut,” katanya ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai timbalan presiden PKR seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Menurut bekas ahli parlimen Pandan itu lagi Najib – yang sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram oleh dua mahkamah – semakin “menggila”.

Justeru katanya apa yang sedang berlaku itu perlu ditamatkan.

Sementara itu mengulas mengenai kritikannya terhadap pucuk pimpinan parti, Rafizi berkata, meskipun dia bersikap lantang namun dia bukanlah susuk yang sama seperti bekas timbalan presiden parti berkenaan, Azmin Ali.

Rafizi menegaskan bahawa dia bukanlah jenis pemimpin yang hanya manis dibibir tetapi tergamak berbuat khianat di belakang parti.

“Saya mungkin lantang, tapi saya bukan Azmin Ali saudara saudari.

“Saya telah buktikan saya tak berminat dengan jawatan menteri atau jawatan awam. Semasa Pakatan Harapan menang 2018, saya menjadi ahli biasa seperti saudara saudari.

“Saya bukan jenis manis dibibir tikam di belakang. Masa Anwar masuk penjara saya tak pernah janji nak rempuh pecah tembok penjara,” katanya lagi.

Semalam, Rafizi secara terbuka mengkritik kepimpinan Anwar selaku presiden PKR dengan menyifatkan populariti pemimpin utama PKR itu making pudar.

Rafizi berkata pemimpin lain dalam PKR pula tidak perlu menjadi pembodek Anwar dengan mempertahankan pemimpin utama itu apabila dikritik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here