Op Maksiat: 3 lelaki, 4 wanita asing dicekup

0
295

DUA lelaki yang didapati positif dadah jenis methamphetamine antara tujuh individu ditahan menerusi Op Bersepadu Khas Maksiat di empat pusat hiburan di sekitar Melaka Raya di Melaka tengah malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dua rakan berusia 25 dan 50 tahun itu ditahan ketika sedang berhibur di sebuah pusat hiburan dalam operasi bermula 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan penjaga sebuah premis hiburan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji empat wanita warga asing tanpa permit kerja sah.

“Empat wanita warga asing berusia 31 hingga 38 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial serta permit kerja dengan bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan terlibat dan mereka akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainol berkata, kesemua serbuan dijalankan secara serentak dan keseluruhannya, seramai 312 individu terdiri daripada 195 lelaki tempatan, 112 wanita tempatan dan lima wanita warga asing berusia 22 hingga 45 tahun diperiksa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah melaksanakan 56 serbuan melibatkan premis hiburan, rumah urut dan hotel bajet di sekitar negeri itu bagi mengesan aktiviti maksiat dan individu dikehendaki, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, menerusi siri serbuan berkenaan, seramai 195 individu terdiri daripada 49 warga tempatan dan 146 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.

Zainol berkata, pihaknya juga melaksanakan 45 pemeriksaan ke atas pusat hiburan manakala rumah urut dan hotel bajet masing-masing 25 pemeriksaan sejak Januari hingga Jun tahun ini.

“Hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan, sebanyak 24 saman dikeluarkan iaitu enam saman ke atas pemilik premis kerana beroperasi tanpa lesen perniagaan, premis beroperasi lebih masa (17) dan premis menjual minuman keras tanpa lesen (satu).

“Tindakan serbuan, tangkapan dan rampasan yang giat dijalankan sepanjang enam bulan pertama tahun ini sedikit sebanyak memberi impak besar kepada individu dan sindiket maksiat untuk bergerak aktif di Melaka.

“Polis memandang serius aktiviti ini dan fokus mengambil tindakan berterusan dalam memastikan aktiviti berkenaan dapat dibendung,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here