Audit 1MDB: Saksi alami pendarahan usus, bicara Najib ditangguh

0
359

PEGAWAI penyiasat (IO) yang ditugaskan menyiasat laporan audit 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Razak mengalami pendarahan usus dan tidak dapat menghadiri perbicaraan di mahkamah pada Khamis.

Berikutan itu, perbicaraan terhadap bekas perdana menteri yang dijadualkan pagi ini dilapangkan dan ditangguhkan kepada 12 Ogos.

Ketika prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, timbalan pendakwa raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan bahawa IO berkenaan, Haniff Lami mengambil cuti sakit selama dua hari.

“Saya alami kesukaran kerana saksi seterusnya yang menjadi saksi terakhir, IO Haniff, dia jatuh sakit, mengalami pendarahan usus.

“Pada saat-saat akhir semalam, saya cuba mengaturkan agar keterangan beliau (Haniff) diambil melalui zoom. Malangnya, kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memaklumkan mahkamah.

“Jika tidak, kami akan teruskan keterangannya hari ini. Saya mohon maaf untuk itu kerana makluman daripada kami yang lewat semalam.

“Semalam hampir jam 7 malam, dia disahkan oleh doktor sebagai tidak dapat hadir (ke mahkamah hari ini),” kata pendakwa raya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Zaini kemudian mengarahkan prosiding hari ini ditangguhkan kepada 12 Ogos.

Pada tarikh berkenaan, pasukan pembelaan Najib dijangka menyambung semula pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil tertuduh bersama itu sebagai saksi terhadap Najib.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan bekas perdana menteri itu dalam membuat pindaan berkenaan.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here