[VIDEO] Kes ROS-UMNO ukuran keadilan, kesaksamaan kerajaan Keluarga Malaysia – Chegu Bard

0
473

KELULUSAN Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi pindaan perlembagaan UMNO berhubung penangguhan pemilihan parti akan menjadi ukuran kerajaan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob benar-benar adil dan saksama seiring semangat Keluarga Malaysia atau sebaliknya.

Pengarah Operasi Pilihan Raya BERSATU Johor, Badrul Hisham Sharin, berkata ini kerana ada beberapa pertikaian berhubung fakta yang membolehkan pindaan perlembagaan UMNO itu diluluskan.

Beliau yang juga dikenali sebagai Chegu Bard, berkata perbandingan kelulusan diterima MCA berhubung penangguhan pemilihan parti dengan UMNO sangat ketara. 

“Pada 2019, ketika perlembagaan MCA digubal, pada masa itu semua Majlis Tertinggi MCA dan struktur organisasi MCA masih dalam tempoh perlantikan mereka iaitu pemilihan parti pada 2018.

“Bezanya dengan UMNO kini adalah status struktur organisasi terkini bagi penggal 2018/2021 sudah tamat pada 30 Jun 2021 dan UMNO baru hendak meminda perlembagaan parti mereka pada 16 Mac lalu. 

“Status terkini UMNO adalah status penjaga parti (care taker sahaja). Mengikut peruntukan perlembagaan UMNO, klausa 9.3 mengatakan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu dipilih tiga tahun sekali,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya seperti dilaporkan Berita Harian.

Chegu Bard berkata, MKT UMNO kini sudah melebihi tempoh dibenarkan dalam perlembagaannya

“Tiada apa-apa dalam perlembagaan (UMNO) yang mengatakan penjaga boleh meluluskan pindaan kepada perlembagaannya,” katanya. 

Beliau berkata, perlembagaan MCA sudah digubal dan diluluskan pada 2019 untuk membuat pemilihan parti enam bulan selepas pilihan raya.

“UMNO baru hendak meminda perlembagaan parti untuk tujuan sama. 

“Penangguhan MCA pada kali ini disebabkan pindaan dalam perlembagaan parti yang mereka sudah berjaya luluskan pada 2019.

“Sebaliknya, UMNO pula tidak memiliki sebarang akta dalam perlembagaan parti mereka untuk menangguhkan pemilihan lagi. 

“Hal ini disebabkan Fasal 10.16 dalam perlembagaan UMNO hanya memperuntukkan MKT UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan tetapi tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, fasal itu hanya boleh digunakan sekali saja dan kuota penangguhan ini sudah digunakan dan tiada lagi peruntukan dalam perlembagaan parti UMNO yang lain boleh digunakan untuk menangguhkan untuk kali kedua. 

“UMNO boleh meminda perlembagaan parti seperti MCA tetapi hanya dengan status struktur organisasi yang sah dan bukannya status penjaga.

“Susulan itu , kepimpinan baharu UMNO perlu mendapat mandat baharu melalui pemilihan baharu UMNO untuk menggubal pindaan sedemikian,” katanya. 

Mengulas lanjut, Chegu Bard mendakwa ROS tidak ada kuasa mengikut Seksyen 13A (4) untuk membenarkan perlanjutan masa untuk UMNO membuat pemilihan parti.

“Hal ini disebabkan segala penangguhan sesebuah organisasi perlu berpaksikan kepada perlembagaan parti mereka yang tersendiri. 

“ROS tidak ada kuasa untuk melangkaui kuasa untuk membenarkan sesuatu yang tidak terdapat dalam perlembagaan sesebuah organisasi,” katanya. 

Beliau mendakwa, ROS membenarkan penangguhan pemilihan MCA kerana perlembagaan parti mereka sudah ada perundangan itu sejak 2019 untuk membenarkan penangguhan sedemikian berbanding UMNO yang baru hendak meminda perlembagaan parti.

“Kes UMNO-ROS ini menjadi kertas ‘litmus’ kepada Ismail Sabri sama ada kerajaan ini benar benar adil dan saksama seiring semangat #KeluargaMalaysia atau sebaliknya…,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here