Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor direman tiga hari

0
316

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PEMANDU lori yang merempuh 11 buah kenderaan lain di Tambak Johor, Johor Bahru, semalam direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Melody Woon Sze Mun terhadap suspek yang berusia 34 tahun.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik dan turut mempunyai enam saman yang masih tertunggak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Suspek yang memakai baju t-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru tiba di pekarangan mahkamah Johor Bahru pada pukul 10 pagi.

Semalam, media melaporkan lori berkenaan yang dipercayai mengalami masalah kerosakan teknikal merempuh 11 buah kenderaan lain di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura pada pukul 9.25 pagi.

Raub berkata, kemalangan itu melibatkan 12 buah kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima.

“Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melengkapkan audit ICOP termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here