Jual kebun, keluar simpanan KWSP demi tunai haji:Jemaah terkandas di KLIA

0
270

SEORANG bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi mendakwa, terdapat jemaah menggadaikan kebun dan mengeluarkan simpanan semata-mata untuk menunaikan haji.

Menerusi hantaran wartawan Astro Awani, Fareez Azman di Twitter, jemaah haji itu dalam nada sebak meluahkan kekecewaan apabila semua simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis digunakan untuk membeli pakej menunaikan Haji.

“Kami cuma harapkan sebelum kami mati, duit yang Allah bagi rezeki, duit EPF (KWSP) itulah yang kami gunakan habis sudah. Pakcik-pakcik yang daripada kerja kerajaan, gratuiti yang diterima telah digunakan,” luahnya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Dia berkata, agensi pelancongan terbabit memberikan harapan palsu dan menabur janji manis kononnya semua jemaah akan diterbangkan ke Tanah Suci.

“Tapi dipermainkan begini, itu yang terkilan sangat, kami diberi harapan, dia (agensi pelancongan) bagi janji ada ‘flight’, semalam buat taklimat kita sampai di sana (Tanah Suci).

“Dia bagi harapan begitu tinggi, kemudian dah 4.30 petang dia kata ‘delay’, ‘delay’ pun kami bersabar…tunggu, tetapi akhirnya visa tiada, ‘flight’ pun tiada akhirnya,” kata jemaah itu.

Susulan itu, polis dilaporkan berkata, mereka menerima 17 laporan daripada bakal jemaah haji yang dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Ketua Polis KLIA, Imran Abd. Rahman berkata, semua laporan polis itu dibuat di sekitar Lembah Klang sehingga 4.30 pagi tadi.

“Semalam kita sudah temubual (pemilik agensi) untuk dapatkan cerita. Ekoran daripada laporan ini, kita akan jalankan siasatan jika terdapat elemen tipu,” katanya.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan lebih banyak laporan polis akan dibuat bakal jemaah terbabit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas malam tadi, selepas diminta agensi pelancongan terbabit untuk ke KLIA bagi menaiki penerbangan yang dijangka berlepas pada 4.30 petang.

Namun, mereka kemudiannya dimaklumkan penerbangan ditangguh ke 7 malam. Menurut seorang bakal jemaah itu, hasil semakan mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah kira-kira 6 petang.

Kumpulan bakal jemaah itu juga mendakwa tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa untuk menunaikan haji.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here