[VIDEO] Vanidah Imran kahwin bekas pesilat negara

PELAKON terkenal Vanidah Imran, 49, kembali bergelar isteri apabila rasmi disatukan dengan seorang jurutera, Arifabillah Idris, 43, dalam majlis akad nikah di sebuah premis di Titawangsa Kuala Lumpur pada Khamis.

Kata Vanidah, dia bersyukur kerana ditakdirkan bertemu jodoh dengan Arifabillah, ayah kepada empat cahaya mata, yang juga bekas pesilat negara.

“Aturan Allah itu sangat indah. Semuanya berjalan dengan mudah dari saat kami berkenalan, rapat sehinggalah memasuki fasa saling memahami bahawa hati kami sudah bertaut antara satu sama lain. Hari ini, rasmi sudah saya menjadi isterinya. Saya benar-benar bersyukur,” kata Vanidah lapor Astro AWANI.

Vanidah dan Arifabillah sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga.

Aktres itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.

Vanidah ibu kepada dua cahaya mata hasil perkahwinan pertama berkata, sejujurnya dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.

Jelas Vanidah, dia dan suaminya, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.

“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.

“Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” kata Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).