SPRM nafi dakwaan ugutan, pegawainya buat laporan polis

0
169

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melakukan ugutan terhadap seorang lelaki dalam bilik siasatan tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

“Berdasarkan laporan dibuat pegawai itu menyatakan dakwaan lelaki terbabit tidak benar dan berniat menjatuhkan imej serta reputasi agensi terbabit yang menjalankan siasatan.

“SPRM menggesa pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap laporan berkenaan kerana dakwaan terhadap pegawai SPRM itu adalah tuduhan serius,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Katanya, SPRM sentiasa memberi kerjasama kepada polis untuk menjalankan siasatan terhadap pegawainya dan dalam masa sama akan terus menjalankan siasatan berkaitan isu rasuah membabitkan pihak yang terbabit dalam isu berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan daripada pengarah sebuah syarikat yang mendakwa dua pegawai SPRM memaksanya menulis surat pengisytiharan memindahkan wang RM1.7 juta kepada individu lain.

Sebelum itu, tular di media sosial perkongsian laporan polis berhubung kes berkenaan yang dikongsi oleh seorang pemilik akaun di mana pengadu mendakwa dikelilingi tiga pegawai SPRM dan seorang orang awam sebelum dua daripada mereka memaksanya menandatangani satu surat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here