[VIDEO] Puad Zarkashi lapar perhatian, lupa tanggungjawab – Sahruddin

0
511

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi perlu berhenti mencampuri urusan Bersatu, sebaliknya memberi perhatian terhadap tanggungjawabnya sebagai speaker DUN Johor, kata Ketua Bersatu Johor Datuk Sahruddin Jamal.

Sahruddin yang dipercayai merujuk kepada kenyataan Puad berhubung jawatan timbalan perdana menteri kepada Bersatu, menyifatkan Adun Rengit itu sebagai ‘laparkan perhatian.’

“Selain menunjukkan dirinya seorang yang laparkan perhatian, malah dia juga telah menunjukkan bahawa dirinya lebih gemar untuk ‘bermain politik’ berbanding berkhidmat kepada rakyat.

“Di saat rakyat sedang berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, dia seharusnya berhenti daripada berkhayal dan kembali menjalankan tanggungjawab hakikinya.

“Saya ingin menyarankan kepadanya agar tidak mencampuri urusan Bersatu dan memberikan perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Adun serta Speaker DUNJohor,” katanya lapor Malaysiakini.

Semalam, Puad berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga dari Umno tidak perlu mengotakan janjinya dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa jawatan timbalan perdana menteri akan diperuntukkan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana dia mendakwa Umno memberikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri demi rakyat, berbanding Bersatu yang memberikan sokongan terhadap Ismail Sabri demi mendapatkan jawatan timbalan perdana menteri, dan bukannya untuk rakyat.

Kenyataan itu selepas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendedahkan ada perjanjian bertulis antara PN dengan Ismail berkenaan perkara itu, yang dibuat sebelum Ismail menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, Sahruddin yang merupakan bekas menteri besar Johor berkata dia hairan dengan sikap Puad yang sering menyerang Bersatu menerusi akaun media sosialnya.

“Janganlah ditunjukkan sangat ‘gila bayang’ atau perasaan kemaruk terhadap Bersatu sehinggakan kerap kali melatah dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

“Dr Puad Zarkashi perlu menghormati amanah yang telah diberikan oleh rakyat khususnya DUN Rengit dan Bangsa Johor amnya, serta tidak mencemari kedudukan sebagai speaker Dewan Negeri Johor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here