PN tubuh jawatankuasa baharu di Pulau Pinang

0
443

JAWATANKUASA baharu Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang yang diketuai Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai serta 11 orang pemimpin dari ketiga-tiga parti komponen PN Pulau Pinang  ditubuhkan semalam.

Pengerusi PN Pulau Pinang, Dominic Lau berkata, senarai ahli jawatankuasa itu diumumkan dalam mesyuarat yang diadakan pada malam semalam. 

“Selain daripada membincangkan peranan yang harus dimainkan PN Pulau Pinang bagi memantau tadbir urus kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, gerak kerja menghadapi pilihan raya umum turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

”Kami berharap semua gerak kerja untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dapat dimulakan mulai hari ini,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada Selasa.

Menurut Dominic, Ahli Jawatankuasa PN Pulau Pinang antaranya terdiri daripada Timbalan Pengerusi, Zulkefli  Bakar dari Bersatu; Muhammad Fauzi Yusoff (Pas) dan Oh Tong Keong (Gerakan).

”Setiausaha pula ialah Hng Chee Wey (Gerakan); Penolong Setiausaha Iszuree Ibrahim (Pas) manakala Bendahari ialah Zul Akmal AB Suhukur (Bersatu).

”Bagi jawatan Ketua Penerangan ia diisi Azahari Aris (Bersatu); Ketua Pemuda ialah Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Pas); Ketua Wanita ialah Yuyunhani Mohd. Yusof (Bersatu) dan Ketua Gen Muda diisi  Ivan Kong Cheng Ann (Gerakan),” katanya.

Dalam pada itu beliau mendakwa, wujud masalah penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah di bawah pentadbiran Kerajaan PH Pulau Pinang dalam tempoh 14 tahun lalu.

”PN Pulau Pinang sebagai barisan pembangkang akan menjadi mata dan telinga kepada rakyat bagi memantau kerja urus tadbir Kerajaan PH Pulau Pinang. 

“PN Pulau Pinang tetap akan mendedahkan sebarang kemungkaran yang melibatkan kepentingan awam serta sentiasa memastikan hak rakyat terbela,” katanya.

Tambah beliau,  ketiga-tiga parti komponen PN Pulau Pinang  berpengalaman dalam tadbir urus sebuah negeri khususnya Parti Gerakan yang pernah mentadbir Pulau Pinang selama 39 tahun.

”PN Pulau Pinang pasti akan menjadi blok pembangkang yang terbesar di Pulau Pinang dan terus bersuara bagi rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here