Tiga termasuk seorang wanita ditahan bersama 17.3 kg ganja

0
3050

SATU sindiket pengedaran dadah lumpuh selepas tertangkapnya dua lelaki dan seorang wanita menerusi Op Igor dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Kajang, Selangor, 24 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, sindiket yang didalangi oleh seorang lelaki tempatan itu dipercayai aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Pihak polis katna, berjaya menangkap tiga suspek itu yang merupakan warga tempatan serta merampas sejumlah dadah disyaki jenis ganja seberat 17.3 kilogram (kg) bernilai RM43,200.

“Kejayaan ini adalah hasil siasatan dan risikan yang rapi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Narkotik) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Selangor dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah berbahaya dengan lebih berkesan.

“Pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM4550, sebuah kereta jenis Honda CRV dan beberapa bentuk barang kemas dianggarkan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM162,750,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Kesemua suspek katanya, berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun direman antara satu hingga lima hari bermula 24 Jun bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, IPK Kuala Lumpur dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur menahan seramai 229 individu atas pelbagai kesalahan narkotik menerusi Op Tapis Khas Bilangan 4/2022 bermula 21 hingga 23 Jun.

Azmi berkata, operasi tersebut menyasarkan kawasan perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya PPR Desa Tun Razak, PPR Sungai Bonus, PPR Intan Baiduri, Flat Seri Terengganu, serta sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Daripada jumlah tersebut (229), seramai 11 orang telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah di bawah ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“Seramai 21 orang di bawah Seksyen 39c ADB 1952 atas kesalahan mengambil dadah berulang dan 10 orang kerana dikehendaki di bawah pelbagai kesalahan dadah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here