Tiada sebab Khir Toyo mahu ceraikan isterinya

0
283

BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo, 57, enggan menceraikan isterinya, Zaharah Kechik, 57,

Sebaliknya kata beliau, permohonan untuk bercerai adalah permintaan isterinya.

Namun Mohamad Khir menyerahkan perkara itu kepada Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam untuk menentukan masa depan rumahtangganya yang dibina sejak lebih 30 tahun itu.

“Pertamanya isteri saya minta cerai, sebagai suami saya sudah laksanakan tanggungjawab, saya tiada sebab hendak menceraikannya, jadi itulah puncanya.

“Kita akan biarkan mahkamah tentukan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini, lapor Sinar Harian.

Hari ini Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam memerintahkan bekas Menteri Besar Selangor itu dan isterinya agar melantik hakam Islah bagi kes perceraian mereka.

“Plaintif (Zaharah) masih tekad untuk berpisah manakala defendan (Mohamad Khir) mahu membincangkan hal (perceraian itu).

“Berikutan itu, kedua-dua pihak perlu melantik hakam Islah dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Khir yang berkemeja putih, berseluar hitam dan bersongkok manakala Zaharah yang berbaju kurung tiba di mahkamah itu dengan peguam, kira-kira jam 9 pagi.

Sementara itu, peguam mewakili Zaharah, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zain berkata, anak guamnya memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 pada 24 Februari lalu.

“Selepas mendengar laporan JKP, mahkamah hari ini mendapati berlaku syiqaq iaitu perbalahan berpanjangan dalam rumah tangga kedua-dua pihak.

“Oleh demikian, anak guam saya dan defendan perlu melantik hakam Islah iaitu wakil lelaki untuk berbincang sebelum menyerahkan laporan kepada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam Elly Jasmin Aminuddin yang mewakili Mohamad Khir pula berkata, pihaknya akan menamakan hakam pada tarikh yang ditetapkan itu.

“Satu perbincangan akan turut dilakukan antara hakam-hakam Islah pada hari berkenaan dan sepanjang prosiding kes ini, kita akan melihat isu syiqaq itu sebenarnya berpunca daripada siapa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here