UMNO ‘perang saudara’, janganlah seret Bersatu!

0
234

TT tak faham kenapa Nur Jazlan Mohamed nak kaitkan Bersatu berikutan perbalahan dalam UMNO.

Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu, ia bukan menunjukkan parti Bersatu berpecah.  Memang sejak awal lagi, ramai yang tahu b Zuraida nak tinggalkan Bersatu sebab nak join PBM.Langkah beliau meninggalkan Bersatu tak ada apa-apa masalah bagi parti itu cuma apa yang menjadi masalah ialah beliau mahu kekal sebagai menteri yang dulunya beliau perolehi jawatan itu atas kuota Bersatu.

Jadi Bersatu hanya tuntut soal kerusi Kabinet tersebut, itu sahaja. Lagipun sepertimana ditegaskan oleh Muhyiddin ada perjanjian antara PN dengan PM berhubung kuota dalam Kabinet ketika penubuhan kerajaan dahulu. Justeru tidak perlulah orang macam Nur Jazlan atau mana-mana Ahli Majlis Tertinggi UMNO bertaraf ‘dilantik’ yang nak jadi pembela tak tentu hala.

TT tegur perkara ini sebab bosan melihat gelagat sesetengah daripada mereka yang minta Perdana Menteri jangan layan permintaan Muhyiddin. Ini bukan soal layan atau tidak, tetapi soal janji. Tahulah dalam UMNO itu ramai yang tak tahu nak tunai janji sebab itu siapapun jadi Perdana Menteri tak akan aman!

Tetapi dalam Bersatu aman damai yang tengah bergolak adalah UMNO yang sekarang satu dunia dah tahu.  Sampaikan nak mesyuarat MT pun kecoh, siap gugur orang lagi untuk lantik orang  lain isi jawatan itu. Tak apalah itu hak Presiden UMNO cuma TT nak nasihat Nur Jazlan, kalau rumah tangga sendiri dok bergolak dan di ambang ‘perang saudara’, janganlah nak seret orang lain…itu politik jahil namanya.

Bila masa pulak PM tanggung biawak hidup? Nur Jazlan belajar tak pasal peribahasa ni? Dalam kamus peribahasa, maksud biawak hidup ialah menolong orang yang akhirnya menyusahkan diri kita.

TT nak tanya bila masa pula Bersatu menyusahkan UMNO. Sejak tertubuhnya Kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dan kini Ismail Sabri Yaakob yang dok menyusahkan kerajaan dan PM ialah pemimpin UMNO. Bersatu walaupun kehilangan jawatan PM melalui gerakan licik yang disusun oleh kluster mahkamah yang Nur Jazlan penyokong kuatnya tidak pernah menyusahkan kerajaan.

Bersatu terus beri sokongan kepada Ismail Sabri tetapi yang dok buat kacau ialah geng-geng UMNO. Jadi Nur Jazlan tak payahlah nak tutup keceluparannya  terhadap Perdana Menteri dengan mengaitkan Bersatu. Masalah UMNO selesailah sendiri.

Sekarang semua orang tahu dalam UMNO sudah hampir tercetus ‘perang saudara’ antara penyokong Presiden UMNO dan Najib Razak dengan penyokong Ismail Sabri. TT dapat tahu dalam tempoh beberapa hari lagi, ‘serangan’ antara satu sama lain akan bertambah hebat. UMNO kini berada di ambang perpecahan.

Semua itu berlaku kerana Kluster Mahkamah terlalu berkuasa dalam UMNO.Sepatutnya pemimpin bermasalah disuruh bercuti, bukan buat hujah dangkal macam Puad Zarkashi yang minta Muhyiddin letak jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Sebab itulah TT cakap yang tengah berpecah bukan Bersatu tetapi UMNO. Masalah UMNO adalah masalah UMNO jangan cuba hendak mengalih isu dengan memburuk-burukkan Bersatu.

TT fahamlah ada segelintir pemimpin UMNO yang tidur tidak lena bila Muhyiddin tetap tenang sahaja menghadapi ‘serangan’ mereka khususnya daripada pemimpin paling berpengaruh dalam UMNO iaitu Najib Razak. Memanglah Muhyiddin tenang sebab beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan redha biarpun disingkirkan dari jawatan Perdana Menteri angkara Kluster Mahkamah dalam UMNO.

Jadi tak perlu orang macam Nur Jazlan nak alih isu. Lebih baik pastikan UMNO tidak berantakan menjelang PRU-15. Lagipun apa gunanya menuding kain orang lain terkoyak sedangkan kain sendiri sudah terlondeh! 

*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here