Nak tadbir kerajaan bukan tambah elaun menteri sahaja – Anwar

0
264

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada pemimpin kerajaan untuk mementingkan kebajikan rakyat berbanding kepentingan sendiri.

Beliau menegaskan bahawa kenaikan kos sara hidup merupakan masalah rakyat yang sepatutnya ditangani pihak kerajaan, mengikut laporan Free Malaysia Today (FMT).

“Nak pegang kerajaan bukan hanya tambah elaun, tambah menteri tetapi jaga kemaslahatan rakyat.
“(Harga) sayur, ikan, ayam, tepung naik ini masalah rakyat,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Harapan di Dataran Pantai Morib pada malam Sabtu.

Bermula 1 Julai, kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran subsidi bernilai RM 700 juta untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana mendapati tidak mencapai hasrat seperti dikehendaki.

Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ketetapan itu dibuat kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga barang.

Beliau berkata, situasi itu juga sekali gus akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang makanan lain.

Dalam pada itu, Anwar berkata kenaikan harga barangan hingga menyebabkan rakyat terhimpit menunjukkan kerajaan kurang prihatin.

Tambahnya, walaupun kerajaan sering bertukar termasuk Perdana Menteri namun dasar yang digunakan adalah lebih kurang sama.

Katanya, walaupun diakui akan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan memerintah, namun prestasi ditunjukkan kerajaan negeri Selangor dan Melaka sangat baik.

Beliau turut melihat prestasi baik yang dipamerkan itu tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.

Anwar juga berharap Jelajah Harapan di Selangor diteruskan di negeri-negeri lain sebagai persediaan berdepan pilihan raya umum akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here