Guan Eng terima ‘Chocolate’ RM2 juta – Zarul

0
287

AHLI perniagaan, G. Gnanaraja dikenal pasti sebagai ‘orang tengah’ untuk menyerahkan wang rasuah kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana hubungan rapatnya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC), Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dalam keterangannya memberitahu, Guan Eng mengarahkannya mencari orang tengah dan mengesyorkan Gnanaraja.

“Gnanaraja diperkenalkan kepadanya oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz sebagai ‘kawan rapat’ Najib .

“Atas perkenalan saya sebegitu daripada kawan baik saya Datuk Seri Nazri, tidak ada sebab untuk saya tidak percaya atas kedudukan Gnanarajah dengan perdana menteri.

“Selain daripada membantu saya untuk merapatkan hubungan saya dengan Perdana Menteri supaya saya tidak diganggu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

Justeru kata Zarul, pihaknya akan dapat menjalankan projek dengan aman selain juga berhasrat untuk merapatkan hubungan Guan Eng dengan Perdana Menteri untuk memastikan tidak ada lagi gangguan projek di Pulau Pinang.

“Dengan itu saya bertindak untuk membabitkan Gnanarajah dengan pemberian wang kepada Lim Guan Eng,” katanya lagi.

Selepas beberapa siri pembayaran dibuat olehnya sendiri dari 2013 hingga 2016, Zarul berkata, Guan Eng menyuruhnya menggunakan perantara sekiranya ingin memberikan wang kerana tidak mahu membabitkan dia dalam pembayaran seterusnya dan bimbang kemungkinan dipantau SPRM.

“Saya cadangkan Gnanaraja sebab dia mempunyai kekebalan memandangkannya merupakan kenalan kepada Perdana Menteri pada masa itu. Lim Guan Eng pun setuju,” katanya.

Zarul berkata, dia menghubungi Gnanaraja antara bulan Mei dan Ogos 2017 untuk berjumpa dan berbincang mengenai penyediaan sebuah syarikat Special Purpose Vehicle (SPV) dan juga peranannya sebagai perantara untuk membayar rasuah kepada Guan Eng.

“Ini kerana pada masa tersebut saya sudah takut untuk memegang dan menyimpan wang tunai yang banyak kerana pada masa itu saya di dalam perhatian pihak SPRM,” katanya.

Zarul berkata pada 17 Ogos 2017, dia mengarahkan pengeluaran wang tunai sebanyak RM2 juta diberikan kepada Guan Eng melalui Gnanaraja.

“Saya juga ada beritahu Gnanaraja saya ingin menyerahkan ’Chocolate’ kepada Gnanaraja untuk diberikan kepada ’Bigboss’ melalui whatsapp. ‘Chocolate’ ini adalah bermaksud wang tunai,” katanya.

Zarul kemudiannya memasukkan wang itu dalam dua beg sukan berwarna gelap, masing-masing mengandungi wang tunai RM1 juta, dalam bonet kereta Bentley milik Gnanaraja semasa pertemuan ringkas di Hotel Eastin, Petaling Jaya, pada 18 Ogos.

Zarul berkata dua hari kemudian dia telah mengambil Gnanaraja dari rumahnya yang membawa bersama satu beg sukan berisi wang RM1 juta.

Mereka kemudian menjemput Guan Eng di Wentworth Hotel Pudu untuk menghantarnya ke Publika bagi menghadiri satu acara.

“Setahu saya, Gnanaraja ada mengambil selfie bersama dengan YB Lim Guan Eng di dalam kereta saya itu. Setibanya di Publika, YB Lim Guan Eng ada mengucapkan terima kasih kepada saya dan menepuk bahu tanda terima kasih kepada saya.

“Melalui gerak geri tersebut, saya pasti ia adalah kerana beg yang berisi wang RM1 juta tersebut telah diambil oleh beliau dan YB Lim Guan Eng ingin berterima kasih kepada saya,” katanya.

Zarul seterusnya mendedahkan beg kedua diserahkan kepada Guan Eng oleh Gnanaraja ketika dia membawa ahli parlimen Bagan itu ke rumahnya lewat tengah malam pada 28 Ogos.

Beliau mendakwa melihat Guan Eng mengeluarkan beg itu ketika dia menurunkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di Hotel The Gardens, Kuala Lumpur, selepas pulang dari rumah Gnanaraja.

Guan Eng, yang juga bekas menteri kewangan berdepan empat pertuduhan rasuah.

Beliau berhadapan pertuduhan pertama menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, iaitu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Gobind Singh Deo.

Perbicaraan bersambung Isnin dengan pihak pembelaan dijangka melakukan pemeriksaan balas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here