SPRM tahan enam lelaki disyaki rasuah lulus ujian GDL

0
215

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam lelaki termasuk dua pegawai penguat kuasa agensi kerajaan kerana disyaki terlibat rasuah bagi meluluskan ujian memandu kelas Kenderaan Perdagangan (GDL) di institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan.

Semua suspek yang berusia antara 35 dan 65 tahun itu ditahan pukul 5 hingga 6 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, semalam, lapor Sinar Harian.

Difahamkan empat suspek lain merupakan tenaga pengajar dan pengajar institusi memandu.

Empat daripada mereka direman lima hari, seorang suspek tiga hari (reman) manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM atas sebab faktor kesihatan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Khairunnisa Kasa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Khas Reman di Seremban, hari ini.

Menurut sumber, mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM300 sehingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di sekitar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kata beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here