Polis buka kertas siasatan berhubung Perhimpunan Kebebasan Badan Kehakiman

0
323

POLIS sudah pun membuka satu kertas siasatan berhubung Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia di Padang Merbok, ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (3),Peraturan 6 dan Peraturan 7, Akta Perhimpunan Aman 2012.

Jelasnya, hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati lebih 220 orang terdiri daripada Ahli Majlis Peguam dan beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun mengadakan perhimpunan Walk For Judicial Independence.

“Mereka mengadakan perhimpunan sambil memegang plakad dan banner bertulis ‘Jom Jalan 4 Judicial Independence, Pertahankan Kebebasan Kehakiman’.

“Dalam perkara ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 15 (3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit berjangkit (Langkah-Langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Tambah Noor Dellhan, pihaknya akan memanggil kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut untuk membantu siasatan.

Katanya, semua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Pihak Polis menasihati agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil dibawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, ratusan peguam berhimpun menyertai Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia pada Jumaat.
Perhimpunan itu bermula pukul 9 pagi di Padang Merbok bagi memberi isyarat jelas menuntut agar Badan Kehakiman terus bebas daripada mana-mana pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here