Rayuan akhir kes SRC Najib: Hakim tarik diri dengar permohonan QC

0
337

HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan Jonathan Laidlaw, Peguam Diraja (QC) United Kingdom untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan terakhirnya bagi kes melibatkan penyelewengan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusan ringkasnya berkata beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar permohonan itu kerana salah seorang ahli keluarga terdekatnya adalah ahli politik yang sangat aktif dan ketua bahagian dalam parti politik yang sama dengan Najib, yang merupakan perayu.

Wan Ahmad Farid, yang pernah menjadi ahli politik aktif dalam UMNO berkata walaupun beliau telah meletak jawatan daripada parti politik yang pernah dianggotainya, pendiriannya adalah persepsi awam terhadap kebebasan badan kehakiman tidak boleh berada dalam situasi meragukan.

“Umum mengetahui bahawa sebelum dilantik sebagai hakim, saya adalah ahli politik yang aktif dan pada satu ketika, menjadi ahli pentadbiran dan ahli Dewan Negara.

“Saya mesti menambah bahawa, selepas mengangkat sumpah saya sebagai anggota badan kehakiman, tanggungjawab saya adalah memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata hakim itu.


Susulan keputusan hakim itu, permohonan Laidlaw kini ditetapkan untuk didengar pada 6 Julai di hadapan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada 31 Mei, Najib memfailkan permohonan untuk membenarkan QC mewakilinya dalam rayuan SRC atas beberapa alasan, antaranya Laidlaw memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.

Dalam usul pemula, Laidlaw memohon supaya diterima masuk dan didaftarkan untuk menjalankan amalan di Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia untuk bertindak sebagai peguam utama Najib dalam rayuan SRC di Mahkamah Persekutuan dan semua sebab atau perkara lain yang berkaitan dengannya. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here