Peniaga kedai telefon didakwa pandu melulu hingga bahayakan konvoi polis

0
245

SEORANG pemilik kedai telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga membahayakan konvoi polis, awal bulan ini.

Tan Wai Meng, 29, selaku orang kena saman (OKS), sebagai pemandu kereta didakwa memandu secara melulu dan berbahaya dengan cara memotong dengan laju di sebelah kiri sehingga membahayakan konvoi polis yang sedang bergerak serta orang awam yang lain.

Tan yang menjalankan perniagaan di Singapura itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli dan didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) menghala ke pusat bandar di sini, kira-kira 9.45 pagi, 7 Jun lepas.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor S. Vikineswary mencadangkan OKS diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, namun Tan yang tidak diwakili peguam memohon jaminan tersebut dikurangkan atas alasan perlu menanggung dua anak dan menjaga ibu.

Zuhainie membenarkan OKS diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Julai untuk sebutan semula kes.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here